Berpaksi Kepada Kesederhanaan Bukan Taksub

Picture of Ahmad Shukri Yusoff
Ahmad Shukri Yusoff

Perunding Motivasi

Islam adalah agama yang sempurna yang bersifat sederhana.

Islam datang dengan seruan berlemah lembut, kasih sayang tanpa ada unsur paksaan, jauh sekali menggalakkan penggunaan kekerasan terhadap golongan yang menolak atau enggan menerimanya.

Realiti semasa kini, masyarakat Islam di Malaysia disogokkan dengan pelbagai aliran dan pandangan yang mencetuskan pelbagai kontroversi dan perbalahan dalam kalangan anggota masyarakat.

Sikap taasub adalah sikap tertutup terhadap pandangan lain yang berbeza. Sikap begini adalah pembawaan yang memandang hanya diri atau kumpulan sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain adalah salah, malah secara berani menuduh pihak yang berlainan pendapat sebagai jahil dan bodoh.

Pihak yang tidak menurut pemikirannya dianggap fasik dan derhaka. Keadaan ini, seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai yang maksum dan kata-katanya sebagai sabda yang diwahyukan, sedangkan semua ulama salaf dan khalaf telah bersepakat bahawa semua pendapat boleh, diambil dan ditinggalkan, kecuali sabda Rasulullah s.a.w.

Pentaasub juga akan memperlihatkan sikap berprasangka buruk kepada pihak lain, memandang seseorang dengan pandangan sinis, menyembunyikan kebaikan mereka dan pada masa yang sama memperbesar besarkan kesilapan orang lain.

Sikap taasub kepada pendapat sendiri mahupun guru dan kumpulan masing-masing adalah salah satu daripada gejala melampau-lampau. Ia juga menggambarkan seseorang yang tidak berkemampuan membuka perbincangan untuk membandingkan pendapatnya dengan pendapat pihak lain.

Taasub akan menjadi lebih berbahaya apabila sikap ini dimanifestasikan dalam bentuk tindakan keras dan memaksa, walaupun terdapat keadaan yang memberi kelonggaran atau kelapangan. Contohnya, percubaan untuk mewajibkan sesuatu yang Allah SWT tidak wajibkan, lalu memaksa orang lain mengerjakan amalan-amalan sunat sama seperti menunaikan yang fardhu.

Ketaasuban boleh pergi kepada kerosakan yang lebih parah apabila terdapat satu pihak yang mengkafirkan pihak yang lain kecuali yang berpegang kepada prinsip mereka, atau menganggotai atau paling kurang bersimpati kepada kumpulan mereka.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Threads
WhatsApp
Scroll to Top