Menjadi naluri manusia sukakan pujian kerana ia merupakan ungkapan yang sedap untuk didengar oleh telinga dan dirasai dalam jiwa.
Pada masa ini masih banyak ketua-ketua, guru-guru, suami isteri, dan ibu bapa yang berat hati dan berat mulut dalam hal memberi kata-kata pujian, sebaliknya mereka ringan mulut dalam memberi kata-kata teguran, kritikan, dan nasihat.
Nabi Muhammad SAW adalah seorang ketua yang murah dengan kata-kata pujian. Beliau memuji semua kategori orang dalam kalangan anak-anak buahnya.
Contoh-contoh Nabi SAW memuji orang:
i. Nabi memuji orang-orang kecil yang beliau tidak kenali apabila orang itu melakukan kebaikan kecil.
ii. Nabi memuji pendosa besar apabila ada orang mengutuk dan cuba memalukan pendosa itu.
iii. Nabi memuji dua orang yang berkonflik, masing-masing diberi pujian yang sangat tinggi.
iv. Nabi memuji sahabat-sahabat beliau yang sangat terkenal dengan menyebut kelebihan masing-masing.
Bagi orang yang memberi pujian, perlu difahami bahawa setiap pujian yang diberikan itu mestilah mengikut kadarnya. Jangan kita memuji secara berlebihan dan palsu hanya kerana ingin mengambil hati orang yang dipuji.
Dalam satu riwayat dari sahabat Bernama Al-Miqdad RA, beliau berkata :
“Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menabur tanah ke wajah-wajah orang yang berlebihan dalam memuji.” (Riwayat Muslim)
Nabi SAW sendiri melarang baginda dipuji berlebih-lebihan walaupun baginda mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.
Al-Imam al-Bukhari merekodkan di dalam Sahihnya, daripada Ibnu ‘Abbas yang berkata beliau pernah mendengar Umar RA berkata di atas mimbar: Saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda:
“Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap Ibn Maryam (Nabi ‘Isa AS), sebaliknya saya hanyalah hambaNya. Maka kamu sebutlah (kepada saya) Hamba Allah dan RasulNya.”


