Banyak orang, dalam masa dia hendak mendorong orang lain supaya membetulkan kesilapannya, sebenarnya dia sedang mendedahkan aib orang itu, di mana dia memalukan, menjatuhkan maruah dan air muka orang itu.
Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak anak buah yang melakukan macam-macam kesilapan. Apabila mereka silap Nabi tidak menegur mereka di hadapan orang-orang lain. Prinsipnya, pelihara maruah orang itu dahulu. Teguran dan nasihat boleh diberikan pada masa lain yang lebih sesuai.
Dalam koleksi hadith oleh Imam Abu Daud ada catatan di mana Abu Said al-Khudri melaporkan, pada suatu hari isteri Safwan bin al-Mu’athal mengadukan kepada Rasulullah SAW perihal suaminya yang tidak solat subuh melainkan selepas matahari terbit. Safwan pun memberitahu Nabi, katanya, “Berkenaan aduan isteri saya bahawa saya tidak solat subuh sehingga selepas matahari terbit, hal itu kerana kami datang dari keluarga yang memiliki tradisi begitu. Hampir setiap hari kami bangun selepas matahari terbit.” Mendengar penerangan Safwan itu Nabi berkata, “Apabila bangun tidur, solatlah ketika itu juga, wahai Safwan.”
Dalam peristiwa itu isteri Safwan melakukan kesilapan di mana dia mendedahkan aib suaminya. Safwan pula mendedahkan aib keluarganya. Namun Nabi tidak tegur dan nasihati mereka. Nabi diam sahaja. Andainya Nabi tegur dan nasihati mereka, Nabi mendedahkan aib mereka. Maruah mereka berdua jatuh di depan orang-orang yang ada di situ.


